Sesuatu yang pasti sememangnya telah agak lama aku tidak menulis berkaitan memancing. Dalam tempoh lima bulan ini aku telah melepaskan lima trip memancing ke laut. Ada beberapa sebab yang mana aku terpaksa membatalkan penglibatan aku dalam kesemua trip itu disebabkan hal-hal yang yang tidak dapat dielakkan dan tidak dapat dinyatakan didalam blog ini (ini bukan kerana kes tak dapat lesen bini ye…)
Ini termasuk juga beberapa siri kayuhan berbasikal oleh Team TMBikers dan Procity MTB pada setiap malam Isnin, Rabu dan Jumaat serta kayuhan pada setiap pagi Ahad. Paling terbaru aku juga tidak dapat menyertai Kayuhan Malam Terang Bulan di Kulim pada 1/5/2010 walaupun pada asalnya aku telah memaklumkan pada Pojie dan Izani yang aku benar-benar akan menyertai trip tersebut ... tetapi sekali lagi atas sebab-sebab duniawi di saat-saat terakhir aku terpaksa membatalkan penyertaan aku dalam trip tersebut. Malah dalam blog ini pun aku telah mencatatkan countdownnya sejak dari satu bulan lebih bagi tujuan aku membuat persiapan fizikal dan sebagainya.
Walaubagaimanapun aku masih tetap bersemangat untuk memancing dan berbasikal…. jadi pada pagi hari Ahad (2/5/2010) selepas aku menghantar Muhammad Syahmi ke Stadium Proton (kerana pagi ini Proton Soccer Kids akan ke Ipoh untuk membuat kunjungan perlawanan persahabatan bolasepak) aku mula bersiap untuk membuat kayuhan panas badan.